Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, Melaka hari ini atas 10 pertuduhan memberi rasuah kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM95,500 tahun lalu.

MELAKA – Dua lelaki termasuk seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan memberi rasuah kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM95,500 tahun lalu.

Tertuduh, Tey Boon Sin, 33, yang merupakan pengarah syarikat pengiklanan dan Leang Tin Sheng, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja 10 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Boon Sin yang berdepan empat pertuduhan didakwa secara rasuah memberi suapan bernilai RM68,500 kepada Mohd. Amir Mohamad, 33, yang bertugas sebagai juruteknik di unit Special Engagement Against Loses (SEAL) Zon Selatan TNB.

Sogokan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang telah dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di empat lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah antara 6 Oktober 2021 hingga 18 Januari lalu.

Tin Sheng pula didakwa dengan enam pertuduhan menyogok individu sama sebanyak RM27,000 bagi tujuan mendapatkan maklumat premis yang telah diserbu serta tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya

Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 13 Ogos 2021 hingga 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut seksyen 17(b)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap Boon Sin dan RM10,000 bagi Tin Sheng.

Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili Boon Sin bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan, manakala Tin Sheng tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan RM10,000 kepada setiap tertuduh selain memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai dan menetapkan 24 Mei ini sebagai sebutan semula kes serta serahan dokumen. – MalaysiaGazette