Mayat lelaki tidak beridentiti ditemui terapung di Sungai Jinjang hari ini. - Gambar ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dalam keadaan bogel dan tiada identiti ditemukan terapung di Sungai Jinjang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mayat berkenaan ditemukan di kawasan sungai berhampiran Flat Taman Sri Murni, Fasa 1, Batu Caves kira-kira pukul 3.25 petang.

Bangsa dan warga negara mangsa tidak diketahui memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui setakat ini.

“Pasukan polis dari Balai Polis Jinjang telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat terapung di sungai. Pasukan menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati si mati berusia 40-an dijumpai dalam keadaan berbogel tanpa pakaian terapung di dalam air disyaki telah meninggal dunia melebihi tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai,  Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang
telah dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat dari sungai tersebut.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri si mati. Justeru siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah ditemui.

“Si mati telah di rujuk kepada pihak Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau pengawai penyiasat, Sarjan Rosdi Yusof dari Balai Polis Jinjang di talian 03-6257 2222 /012-6580597. -MalaysiaGazette