Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh melawat tapak jualan ketika hadir ke Majlis Perasmian Program MyBest Buy Aidilfitri 2022 di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Warga Putrajaya berpeluang mendapatkan keperluan asas jauh lebih murah daripada harga pasaran menerusi Program Mybest Buy Aidilfitri 2022.

Program ini dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, program ini memberi peluang golongan berpendapatan rendah membeli bahan-bahan makanan sebelum Aidilfitri.

Program ini bukti MAFI prihatin terhadap rakyat yang kurang berkemampuan, slain itu, program ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada golongan peniaga supaya tidak mengaut keuntungan menjelang perayaan Aidilfitri.

Nik Muhammad Zawawi Salleh melihat produk yang dijual di tapak jualan Program MyBest Buy Aidilfitri 2022 di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2022.

“Program Mybest Buy Aidilfitri 2022 mmberi peluang golongan berpendapatan rendah membeli bahan-bahan makanan sebelum Aidilfitri. Jangan ambil kesempatan di atas kesusahan orang ramai tapi tolong orang,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Mybest Buy Aidilfitri 2022 yang berlangsung di Wisma Tani, hari ini.

Program Mybest Buy Aidilfitri 2022 berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok disertai 50 orang usahawan.

Program ini menawarkan harga ayam mentah terendah iaitu RM10 untuk 2 kilogram (kg).

Nik Muhammad Zawawi berpuas hati jualan bahan mentah kerana barang-barang keperluan berkualiti.

”Kita dapat saksikan sendiri jualan dari sudut harga bahan mentah sangat murah. Kita tidak akan jumpa harga yang di jual di sini di luar.

”Kelebihan sayuran, buah-buahan, daging, ayam, sotong, udang yang dijual di sini semua segar,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette