Razarudin Husain @ Abd Rasid

KUALA LUMPUR – Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang viral di media sosial selepas membuat video secara langsung di aplikasi TikToknya ketika satu serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini telah ditukarkan.

Pegawai kanan itu difahamkaan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan arahan pertukaran pegawai kanan itu.

“Betul, dia ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada hujung bulan Mei depan,” katanya ketika dihubungi.

Pegawai itu yang sedang bertugas sebagai ASP Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (INDUK).

Terdahulu, pegawai wanita yang bertugas di JSJN Bukit Aman telah menerima kritikan warga netizen susulan tindakannya itu baru-baru ini.

Dalam video TikTok berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menerangkan tanggungjawab kerja ketika menjalankan serbuan serta pemeriksaan.

Isnin lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan menyusul ke atas pegawai kanan itu sambil memberi jaminannya pihaknya tidak akan memilih bulu, pangkat atau bertolak ansur dalam soal tersebut.

“Sebelum ini pekeliling penggunaan media sosial termasuk TikTok telah dikeluarkan oleh PDRM pada Ogos 2020, Mei 2014 dan Februari 2021,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast