KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan bantuan bersasar dalam bentuk sumbangan duit raya sebanyak RM200 bagi meringankan beban peneroka getah yang memperoleh pendapatan hasil tanaman itu kurang RM2,000 pada bulan Mac.

Sumbangan duit raya dan barangan asas berjumlah sehingga RM200 pula akan diterima oleh pekerja ladang Felda di seluruh negara.

Bayaran bagi sumbangan duit raya ini akan mula dibuat mulai esok.

Keseluruhan sumbangan duit raya ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta, kata Felda.

Dalam pada itu, Felda turut mengumumkan penangguhan potongan bayaran kembali peneroka getah bagi pendapatan bulan Mac 2022.

Peneroka getah yang layak menerima penangguhan ini adalah mereka yang memperoleh pendapatan hasil bulan Mac kurang RM2,000.

”Bantuan bersasar ini merupakan manifestasi keprihatinan Felda terhadap peneroka getah yang menerima pendapatan kurang RM2,000.

”Semoga bantuan ini akan dapat meringankan sedikit beban warga peneroka yang terjejas dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette