Gambar hiasan

JAKARTA – Indonesia akan menghentikan penghantaran olein sawit (RBD) bertapis, diluntur dan dinyahbau, berkuat kuasa 28 April 2022, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji semula dasar itu secara berkala dan ia akan kekal sehingga harga minyak masak domestik turun kepada 14,000 rupiah (RM4.21) seliter.

Negara itu akan mengenakan dasar larangan eksport ke atas semua pengeluar olein sawit RBD dan digunakan pada produk di bawah kod sistem seragam 15119036, 15119037 dan 15119039.

Data Pusat Maklumat Harga Makanan Strategik Nasional Indonesia pada hari Selasa menunjukkan harga minyak masak pukal berada pada 19,450 rupiah seliter, jatuh 1.52 peratus atau 300 rupiah berbanding Isnin.

Terdahulu, Kementerian Pertanian republik itu dalam surat pekelilingnya kepada gabenor berkata penghantaran minyak sawit mentah (MSM) akan dikecualikan daripada rancangan larangan eksport minyak sawit.

Presiden Joko Widodo pada Jumaat lepas mengumumkan larangan eksport minyak sawit mulai 28, April 2022 sehingga diberitahu kelak bagi memastikan keperluan domestik dipenuhi di tengah-tengah kenaikan harga. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast