S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat pusat atau negeri perlu bekerjasama rapat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Beliau berkata, ini penting bagi mengelakkan pertindihan atau perbezaan pendapat dalam mendepani pilihan raya itu kelak.

“PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor telah memaklumkan bahawa untuk memenangi pilihan raya, bukan (usaha) satu-satu parti (tetapi) Barisan Nasional secara umumnya. (Parti-Parti komponen BN) harus bekerjasama supaya di akar umbi tiada pertindihan pendapat,” katanya pada sidang media hari ini.

Vigneswaran berkata demikian sebelum mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MIC di sini. Ia mesyuarat pertama parti itu selepas PRN Johor bagi membincangkan pencapaian pada pilihan raya tersebut selain meneliti persiapan untuk menghadapi PRU15.

Pada PRN Johor Mac lepas, MIC memenangi tiga daripada empat kerusi yang ditandingi atas tiket BN.

Vigneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana keupayaan kepimpinan beliau menangani pandemik COVIDovid-19 dengan baik.

“Saya berharap di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat memulihkan ekonomi negara dengan cepat supaya rakyat lebih sejahtera,” katanya. – BERNAMA