HARI Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan konservasi spesies Tapir dan habitatnya.

Malaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies Tapir yang terbesar di dunia.

Tapir Malaya berbeza dengan spesies Tapir lain di dunia kerana ia merupakan satu-atunya spesies Tapir yang mempunyai dua warna yang jelas iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.

Tapir Malaya merupakan salah satu spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Tapir Malaya merupakan spesies yang terancam (endangered species) dalam senarai IUCN Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia akan terus mempergiatkan usaha konservasi in-situ Tapir Malaya dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi, melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, solar amber light dan papan tanda hidupan liar melintas di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Dalam aspek konservasi ex-situ, program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan 18 kelahiran dalam kurungan manakala 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak tahun 2008.

Usaha akan terus diperkasakan melalui usaha penubuhan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka siap pada tahun 2025.

Sempena Hari Tapir Sedunia 2022, saya menyeru semua pihak untuk memperbaharui tekad serta bersama-sama memainkan peranan dalam konservasi Tapir Malaya dengan menjaga habitatnya dan memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan yang mempunyai papan tanda hidupan liar melintas. Marilah kita melindungi khazanah negara kita yang tidak ternilai ini untuk diwariskan kepada generasi masa depan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Menteri Tenaga dan Sumber Asli

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast