PICKids children Covid-19 vaccination
Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) lima hingga 12 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Covod-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) boleh mencapai 45 peratus.

Lantaran itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta ibu bapa untuk mengambil peluang dua minggu terakhir bagi mendapatkan vaksin bagi anak mereka menjelang tarikh akhir pada 15 Mei ini.

“Kita sudah melaksanakan pelbagai kaedah termasuk pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah serta kempen di bawah Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) yang diketuai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Saya melihat mereka sudah menjalankan kerja dengan baik sekali, namun malangnya majoriti daripada ibu bapa masih berpendapat dan membuat pilihan untuk tidak membenarkan anak mereka untuk diberikan vaksin.

“Selepas 15 Mei ini, ibu bapa yang mahu memberikan vaksin kepada anak mereka perlu mendapatkan perkhidmatan itu program vaksinasi berbayar. Hanya vaksin Sinovac diberikan secara berbayar, manakala Pfizer hanya diberikan melalui PICKids, namun ia tidak lagi diberikan selepas tarikh 15 Mei,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KKM hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, walaupun tarikh akhir pemberian vaksin adalah pada 15 Mei, namun pihaknya akan menyimpan bekalan vaksin berkenaan terutamanya bagi mereka yang belum mencapai usia lima tahun atau mencapai usia lima tahun selepas tarikh berkenaan.

“Kita juga menyimpan bekalan vaksin kepada kanak-kanak yang positif Covid-19 dan terpaksa menunggu tempoh sebulan sebelum dibenarkan mendapatkan dos pertama mereka.

“Bagi yang lain, tarikh akhir adalah seperti yang dinyatakan. Kita tidak mampu panjangkan tarikh berkenaan kerana ia berkait dengan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar dan usaha untuk kita memperolehi lebih banyak ubat antiviral,” katanya lagi. – MalaysiaGazette