Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di stor IPD Sentul yang meletup semalam.

KUALA LUMPUR – Polis akan mencadangkan kepada Majistret untuk mengkaji semula keperluan kaedah melupuskan barang rampasan bukti khususnya mercun dengan cara yang lebih sesuai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kaedah pelupusan mercun yang dijalankan semalam adalah mengikut arahan yang telah dikeluarkan Majistret sebelum ini.

“Kita akan merujuk berdasarkan laporan pihak bomba dan Jabatan Kimia untuk melihat semula kaedah yang lebih baik bagi melupus barangan kes seperti mercun.

“Semalam jumlah barangan yang perlu dilupuskan itu amat besar. Kita faham ada sesetengah barang kes tidak sesuai dilupuskan dengan cara seperti itu, jadi kita perlu lihat semula keperluan membuat pelupusan barang kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai tiga pekerja pembersihan cedera ringan dalam satu kebakaran yang mengakibatkan letupan kuat sehingga menggegarkan kawasan Sentul.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu berpunca dari stor simpanan bunga api yang dirampas oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di Jalan Perhentian.

Dalam perkembangan lain, sempena persediaan musim perayaan Aidilfitri, Azmi berkata, pihaknya telah bersedia mengatur semula penugasan anggota bagi memastikan warga Kuala Lumpur serta Putrajaya berada dalam keadaan selamat sepanjang hari perayaan itu.

“Kita telah atur semua penugasan sepanjang musim perayaan ini dan sebanyak 10 peratus sahaja anggota dibenarkan untuk bercuti dari kekuatan sebenar polis .

“Anggota kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang lain pula akan menjalankan rondaan di sekitar kawasan rumah penduduk,” ujarnya – MalaysiaGazette