Letupan yang berlaku di stor barangan kes IPD Sentul semalam.

KUALA LUMPUR – Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan yang berlaku di dalam kawasan Stor Barang Kes IPD Sentul, Jalan Sentul Works yang meletup lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ini kerana terdapat kerja-kerja pelupusan barang kes melibatkan rampasan mercun pelbagai jenis telah dijalankan beberapa jam sebelum kejadian letupan ini berlaku.

Kejadian itu menyebabkan tiga pekerja am yang membantu pembersihan proses pelupusan itu cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, lima pegawai polis yang bertugas di Stor tersebut dan dua orang pekerja am lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

”Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebanyak 18 buah kereta dan dua buah lori telah terbakar.

”Kesemua barang kes tersebut adalah merupakan barang kes berdaftar yang disimpan di dalam stor tersebut. Anggaran jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan,” katanya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 6.24 petang dan kebakaran berjaya dipadam dan dikawal sepenuhnya pada jam lebih kurang 7.04 petang. – MalaysiaGazette