Shahbudin Embun

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan seberapa segera ke atas Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima rasuah.

Pengerusi Biro Politiknya, Shahbudin Embun berkata, pihaknya mengharapkan siasatan itu tidak diganggu oleh mana-mana pihak berkepentingan, demi menjaga nama baik badan kehakiman.

“Kita menyokong SPRM meneruskan siasatan ini untuk mengelakkan netizen membuat komen di media sosial.

“Kita boleh dilihat media baharu ini dijadikan ‘medan mahkamah’ oleh netizen yang bertindak sebagai penyiasat, pendakwa dan juga hakim. Perbuatan itu salah dari segi undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah agensi penguatkuasa antirasuah, SPRM diberikan mandat melalui Akta SPRM 2009 ke atas laporan atau aduan rasmi yang dibuat.

Katanya, suruhanjaya itu terikat dengan tanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat laporan tersebut mengikut SOPnya.

Oleh itu, siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan tidak patut disensasikan oleh pihak tertentu.

“Namun, SPRM tidak boleh siasat sesuatu perkara sesuka hati tanpa bukti. Ini kerana pengasingan kuasa memastikan bidang kuasanya terhad kepada penyiasatan kes berkaitan rasuah sahaja.

“Seterusnya, kertas siasatan akan diberikan kepada Pejabat Peguam Negara dan tertakluk kepada Peguam Negara untuk memberi izin untuk mendakwa sekiranya ada bukti.

“Sekiranya tidak ada bukti yang mencukupi, tiada tindakan undang-undang akan diteruskan,” ujar beliau.

Kata Shahbudin lagi, prinsip pengasingan kuasa memastikan tiada penumpuan kuasa dalam satu-satu badan atau institusi.

Jadi, sesiapa yang di bawah siasatan tidak perlu berasa gusar sekiranya mereka tidak berbuat salah kerana tindakan undang-undang seterusnya tidak dapat dijalankan tanpa bukti mencukupi.

Mengenai tindakan beberapa pihak yang mempersoalkan hakim tidak boleh disiasat oleh agensi penguatkuasaan, katanya, pandangan seumpama itu tidak munasabah kerana SPRM dan polis telah diberikan mandat untuk menyiasat kes kesalahan jenayah.

“Terdapat beberapa kes, di mana hakim yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai “pegawai badan awam” pernah disiasat dan didakwa atas pertuduhan rasuah.

“Pada tahun 2009, bekas Majistret Mohd Firdaus Ramlan telah ditahan, disiasat dan seterusnya dibicarakan. Dia dipenjarakan selama tiga tahun dan didenda RM40,000 kerana menerima rasuah.

“Malah, dalam kes Hakim Mohd Nazlan ini, dia telah memfailkan laporan polis terhadap dakwaan yang telah dibuat oleh Malaysia Today. Ini menunjukkan beliau percaya dan yakin terhadap agensi penguatkuasa untuk menyiasat perkara tersebut,” katanya.

Menurutnya, jika hakim itu tidak melakukan apa-apa kesalahan, nescaya tiada tindakan selanjutnya dilakukan terhadap beliau hasil daripada siasatan oleh SPRM.

Katanya, sebagai badan diamanahkan untuk bertindak tanpa rasa takut dan pilih kasih bagi membendung rasuah, maka rakyat patut mengalu-galukan tindakan SPRM melaksanakan tugas serta fungsinya.

Ini selaras dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Parlimen baru-baru ini, bahawa beliau tidak berkompromi dan tidak masuk campur terhadap semua proses pengadilan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tolong jngn lepas pandang..pesalah vvip masih berkeliaran tanpa rasa malu.. Ini pon kena sprm check jugak… Knpa vvip boleh rakyat marhaen terus ke lokap

Comments are closed.