Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 6,900 kes sembuh COVID-19 setakat semalam dan ia lebih tinggi berbanding 3,471 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 3,461 adalah kes tempatan manakala 10 kes import.

Daripada keseluruhan 27 kes bagi kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, sebanyak lima kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 13 kes telah mendapat dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala sembilan kes telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, sebanyak 13 kes berumur 60 tahun dan ke atas direkodkan, manakala 14 kes mempunyai komorbid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 4,440,383, selain dua kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster aktif, 91 kluster.

Sementara itu, bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes Covid-19, tiada negeri yang mencatat penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil bukan ICU melebihi 50 peratus.

Dr. Noor Hisham berkata sebanyak 98 kes memerlukan rawatan di ICU semalam, manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 63 kes.

Berhubung kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt, beliau berkata, Rt dicatatkan seluruh negara adalah 0.70 dengan Putrajaya merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.05.

Walaupun kelonggaran prosedur operasi standard telah diberikan, Kementerian Kesihatan berharap rakyat sentiasa berwaspada dengan mengamalkan kawalan kendiri kerana virus Covid-19 masih berada dalam kalangan masyarakat, katanya.- MalaysiaGazette