Fatimah (kiri) bersama anaknya, Siti Aminah Abdullah di rumah sewa mereka di Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Melalui ibadah puasa ketika mula memeluk agama Islam bagi kebanyakan mualaf, ia sesuatu yang agak sukar kerana terpaksa menahan lapar dan dahaga.

Tambahan pula, ia merupakan pengalaman baharu bagi mereka.
Namun, setelah beberapa kali melaluinya, berpuasa dalam Ramadan ini memang menjadi waktu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh golongan mualaf.

Bagi Fatimah Nagoma, 70, dan anak perempuan bongsunya, Siti Aminah Abdullah, 48, yang menetap di Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau, apa yang penting, ibadah puasa yang dilalui mendapat keredaan Allah.

Malah, mereka dapat merasakan amalan berpuasa itu merapatkan silatuahim dengan jiran tetangga tanpa mengira kaum dan agama.

“Dulu memang rasa perit jika hendak berpuasa semasa mula-mula memeluk Islam. Tapi dengan galakan serta sokongan jiran-jiran dan penduduk kampung, saya berjaya melaluinya. Kini setiap tahun saya akan ternanti-nanti bila Ramadan hendak tiba,” katanya yang telah memeluk Islam lebih 30 tahun lalu.

Fatimah berkata, dia tertarik memeluk Islam apabila melihat keharmonian kehidupan penduduk kampung yang sentiasa tolong-menolong serta menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan keturunan dan agama.

Disebabkan itu, Fatimah yang ketika itu mempunyai empat orang anak itu nekad memeluk agama Islam.

Langkahnya itu diikuti anak perempuan bongsunya, Siti Aminah.
Setelah sekian lama memeluk Islam, Fatimah tidak pernah memutuskan hubungan sebagai ibu kepada dua orang lagi anak perempuannya.

“Seorang anak lelaki saya telah meninggal dunia. Bekas suami saya pun telah meninggal dunia. Dua lagi anak perempuan saya yang tidak mengikut jejak saya dan kini telah berkeluarga, namun kami masih berterusan berhubung antara satu sama lain.

‘Kasih ibu tidak pernah putus selagi hayat dikandung badan.
“Namun, mungkin disebabkan halangan tertentu dari segi agama, mereka tidak dapat berhari raya dengan saya setiap tahun. Namun saya sentiasa berdoa mengenai kesejahteraan mereka dan mungkin satu hari nanti kami dapat sama-sama menyambut Aidilfitri dalam sebuah keluarga yang besar,” katanya.

Siti Aminah pula berkata, sejak remaja lagi sebelum memeluk Islam, dia sudah belajar berpuasa dan pada awalnya memang agak sukar kerana ia sesuatu yang baharu dalam hidupnya.

“Saya tertarik dengan amalan puasa rakan-rakan sebaya dan saya turut sama walaupun ketika itu belum lagi memeluk Islam.
“Apabila ibu peluk Islam, saya pun ikut sama dan amalan puasa ini tidak lagi menjadi masalah kepada saya. Malah saya sentiasa tertunggu-tunggu bila Ramadan akan tiba,” katanya yang telah berumahtangga dan kini mempunyai lima orang anak.

Siti Aminah juga berkata, dua kakaknya juga sentiasa menghubunginya untuk bertanyakan khabar ibu mereka.

“Mungkin satu hari nanti kami adik-beradik dapat menyambut 1 Syawal bersama tanpa halangan,” katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Ikut Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim memberitahu, persatuan itu sentiasa menyantuni golongan mualaf yang berada di Pulau Pinang.

Zolkifly Md. Lazim

Persatuan Ikut Pulau Pinang merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan yang aktif dalam membantu golongan mualaf selain menghulurkan bantuan mengikut keperluan.

“Persatuan ini akan memastikan kebajikan golongan mualaf termasuk dari segi keperluan makan dan minum termasuk pendidikan terjaga dan terpelihara.

“Jika ada sebarang aduan atau keperluan, persatuan ini akan cuba cari penyelesaian dalam membantu mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast