Mohamad Fakhrudin flag Off Op Selamat peringkat IPD PJ dan juga mengedarkan beg goodies dengan kerjasama syarikat konsesi Lebuhraya NPE kepada pemandu kenderaan di Plaza Tol PJS2, di sini pagi ini.

PETALING JAYA – Polis akan memperhebatkan operasi rondaan memfokuskan untuk mencegah kes pecah rumah dan kecurian motosikal bersempena Operasi Selamat Sambutan Aidilfitri 2022 peringkat Petaling Jaya bermula esok sehingga 8 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, untuk Op Selamat kali ini seramai 264 pegawai kanan dan anggota penguat kuasa akan terlibat dalam menjamin keselamatan dan aliran trafik di jalan raya di daerah tersebut.

Pihaknya akan memberi fokus kepada tiga tempat hitam (blackspot) iaitu Lebuhraya Persekutuan, Jalan Lapangan Subang dan juga Persiaran Surian.

“Justeru kita juga menerusi Op Selamat ini akan menjalankan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan dan juga sekatan jalan di kawasan panas yang dikenal pasti bagi memastikan setiap pengguna jalan raya akan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa.

“Selain daripada itu kita juga bersama agensi-agensi penguatkuasa lain iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan,Bomba dan Pejabat Daerah Petaling,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat Aidilfitri 2022 peringkat PJ di Plaza Tol PJS2 di sini hari ini.

Mohamad Fakhrudin flag Off Op Selamat peringkat IPD PJ di Plaza Tol PJS2, di sini pagi ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, bagi menjamin keselamatan rumah, polis akan meningkatkan lagi rondaan cegah jenayah tempat komuniti dengan memperhebatkan rondaan MPV, Unit Rondaan Bermotosikal dan pasukan task force peringkat balai polis.

Menurutnya,  ia bertujuan untuk memastikan mereka menjalankan rondaan di semua kawasan rumah yang dikosongkan oleh penghuni yang balik kampung untuk beraya selama seminggu sempena Aidilfitri kali ini.

“Kes pecah rumah dan curi motosikal merekodkan kes jenayah paling tinggi dengan menyumbang 68 peratus daripada keseluruhan kes jenayah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tahun lalu.

“Kalau kita lihat statistik cegah jenayah empat bulan pertama tahun ini, kejadian pecah rumah dan mencuri motosikal kerap berlaku walaupun bagi tahun ini Pecah rumah menurun 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Begitu juga dengan kes mencuri motosikal yang meningkat 13 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan di sini kami akan menfokuskan kedua-dua jenayah ini sepanjang Op Selamat nanti.

“Kita sudah meminta komuniti di PJ supaya memaklumkan kepada polis tempoh mereka meninggalkan rumah untuk balik kampung menerusi borang pemakluman yang disediakan.

ACP Mohahamd Fakhrudin Abdul Hamid

“Maka berdasarkan maklumat itu anggota kami akan melakukan rondaan kerap bagi memastikan tidak berlaku kes pecah rumah,” ujarnya.

Justeru katanya, pihaknya juga telah bekerjasama dengan rukun tetangga penduduk, NGO dan Persatuan Penduduk di daerah itu untuk menjayakan Op Selamat kali ini.

Tegasnya, polis menggalakkan persatuan penduduk, rukun tetangga di PJ untuk bersama-sama dengan polis menjalankan rondaan dalam masa perayaan memastikan Op Selamat dijayakan.- MalaysiaGazette