Penasihat 1 Pusat Jagaan Mahmudah, Azman Rasman (dua kiri) bersama Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Madya Datuk Abdul Rahman Abdul Razak Shaik (kiri) dan Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori (tiga kiri) melawat sebahagian penghuni pada Program CSR MG Prihatin bersama Angkasa di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2022.

SEMENYIH – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM3 juta untuk membantu kira-kira 70,000 keluarga bagi tempoh 2020 hingga sekarang dalam usaha meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, sudah menjadi tanggungjawab dalam gerakan koperasi untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan langkah tersebut di lakukan melalui CoopCare.

Katanya, ia merupakan kelebihan yang dimiliki oleh Angkasa kerana memiliki gabungan koperasi di peringkat negeri-negeri.

“Ini adalah kemudahan yang diberikan oleh Angkasa Pusat terhadap Angkasa di peringkat negeri-negeri di mana mereka akan mencari golongan sasaran yang boleh dibanrtu.

“Mereka akan mengenalpasti terutamanya dari segi maklumat yang diberikan serta bantuan yang hendak dihulurkan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Program MG Prihatin bersama Angkasa di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, sepanjang pandemik Covid-19 yang lalu Angkasa banyak membantu barisan hadapan dengan menghulurkan bantuan perubatan dan sebagainya.

Tambahnya, ia adalah salah satu cara yang dibuat oleh Angkasa menerusi geran koperasi dan selebihnya melihat masyarakat sebagai salah satu misi yang perlu dibantu.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pusat-pusat jagaan di seluruh negara menyertai gerakan koperasi kerana terdapat banyak kelebihan yang boleh diperoleh daripadanya.

Katanya, ia merupakan satu keperluan yang mana pendekatan terbaik untuk mendapatkan bantuan adalah dengan menubuhkan koperasi kerana dengan menubuhkan koperasi pusat jagaan akan menerima bantuan asnaf dan dalam masa sama boleh menjalankan perniagaan selain aktiviti kebajikan.

“Kalau setakat pertubuhan dia tidak boleh terlibat dalam perniagaan, malah dia hanya bergantung kepada sumbangan…tetapi bila ada koperasi dia boleh dimanfaatkan,” ujarnya.

Justeru beliau mengalu-alukan semua pusat jagaan menubuhkan koperasi kerana itu adalah pendekatan terbaik daripada hanya menunggu sumbangan semata-mata.

Sementara itu, Penasihat I, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman berkata, pihaknya berbesar hati dengan sumbangan yang diterima daripada Angkasa dan juga Malaysia Gazette.

Katanya, pemberian barang-barang keperluan serta sumbangan wang tunai yang diberikan amat membantu pusat jagaan itu kerana pengoperasiannya setiap memerlukan belanja yang besar.

“Setiap bulan kami memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk beroperasi dan itu termasuk perbelanjaan pengurusan seperti perubatan, makan dan minum warga emas di sini serta banyak lagi perkara lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette