Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menunjukkan tiket bas ketika hadir beramah mesra dengan pengguna pengangkutan awam sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 23,595 daripada 77,145 tiket bas ekspres yang beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, untuk perjalanan pulang berhari raya telah dijual.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, orang ramai masih boleh membeli tiket untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri memandangkan terdapat 53,550 tiket ditawarkan oleh syarikat bas ekspres.

“Masih ada banyak lagi tiket iaitu sebanyak 23,800 bagi arah selatan, 17,850 untuk arah utara dan 11,900 bagi arah timur

“Menjelang musim perayaan, sebanyak 6,592 trip perjalanan ke seluruh negara ditawarkan sepanjang 29 April hingga 8 Mei dengan 23,595 atau 30 peratus tiket telah terjual,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan TBS menjelang Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Ka Siong, sebanyak 97 perkhidmatan bas tambahan disediakan bagi menampung permintaan tinggi sempena sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan permintaan, sekaligus menjadi titik pemulihan dalam industri pengangkutan awam terutama bas ekspres selepas Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu.

Sehubungan itu, jelasnya, pengurusan TBS telah mengambil langkah persediaan bagi menerima jumlah penumpang yang tinggi bermula hari ini hingga 10 Mei depan. – MalaysiaGazette