KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) memberi jaminan urusan logistik dan penghantaran ubat-ubatan akan berjalan seperti biasa dan tidak akan terganggu sepanjang musim perayaan minggu depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Md. Eusope berkata, pihak syarikat telah membuat perancangan rapi dengan lebih awal bagi memastikan bekalan ubat dan penghantaran ke semua klinik dan hospital Kerajaan ke seluruh negara berjalan dengan lancar sepanjang cuti perayaan.

“Setiap kakitangan sentiasa bersiap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan atau bencana besar bagi member sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hero Ramadan di Hospital Kuala Lumpur selepas  Kumpulan Pharmaniaga menyerahkan sebanyak 400 pek juadah berbuka puasa kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut menyaksikan serahan dan pengagihan sebanyak pek juadah berbuka puasa tersebut kepada kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL.

Zulkarnain berkata, program Hero Ramadan adalah aktiviti tanggungjawab sosial yang diadakan setiap tahun sebagai satu cara untuk syarikat menghargai kepada kakitangan barisan hadapan yang bertugas tapa mengira waktu dan tempat.

“Mereka bertugas dengan penh dedikasi sepanjang bulan Ramadan dan memberi keutamaan kepada tugas walaupun pada ketika itu umat Islam yang lain sedang berbuka puasa.

“Pogram Hero Ramadan yang sudah masuk tahun keenam kali ni melibatkan sebanyak lima buah hospital dan juga 17 ibu pejabat polis daerah, dengan sejumlah 2,500 pek juadah berbuka puasa disediakan oleh Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur yang seperti
Pharmaniaga, adalah sebahagian daripada Kumpulan Boustead,” katanya. – MalaysiaGazette