Pegawai Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Kwek Po Guan, bersama Pengerusi PERKEMM, Sanah Manap memberi bantuan persiapan Aidilfitri kepada anak-anak yatim.

KUALA LUMPUR  – Sembilan anak yatim menerima sumbangan pakaian menjelang Hari Raya Aidilfitri daripada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaafar dan Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur (PERKEMM)

Kesemua anak yatim tersebut dijaga oleh seorang guru di sebuah sekolah di ibu negara, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mazlina.

Kwek Po Guan, dan Sanah Manap mendukung anak-anak yatim yang menerima sumbangan persiapan hari raya Aidilfitri

Pada majlis penyampaian bantuan itu, Kamarudin diwakili Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Kwek Po Guan.

Menurut Kwek, program yang dianjurkan hari ini merupakan program kedua di peringkat parlimen selepas pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjayakan program yang sama untuk anak-anak kurang bernasib baik di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

“Program hari ini ditaja oleh Pusat Pakaian Hari-Hari bersama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, yang juga mengeluarkan satu sumbangan untuk mereka (kanak-kanak) membeli persiapan hari raya.

“Untuk satu keluarga hari ini kita belanja dalam RM1,000 untuk mereka membeli kelengkapan raya seperti baju Melayu untuk lelaki, baju kurung untuk perempuan serta songkok.” katanya kepada MalaysiaGazette, di Pusat Pakaian Hari-Hari, Sungai Besi, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PERKEMM, Sanah Manap memberitahu, pihaknya yang prihatin terhadap kesusahan orang ramai akan terus menyantuni mereka dan cuba untuk meringankan beban yang dipikul.

“Bila ketibaan hari lebaran ini kanak-kanak biasanya akan ada rasa ingin menikmati baju raya baru”

“Dalam keadaan yang terpaksa tinggal dengan keluarga angkat, bercampur, kita pun nak dia rasa dapat meraikan Aidilfitri dengan bahagia” ujarnya. – MalaysiaGazette