Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap pada media selepas merasmikan memontong riben di Restoran Naatamai Palace Garden , Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 01 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 akan menunjukkan kesan positif tidak lama lagi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, gaji minimum baharu ini sudah tentu akan menaikkan imej  Malaysia di mata negara-negara luar.

Dalam masa yang sama, pelaksanaannya yang sama rata tanpa mengira pekerja tempatan atau asing membuktikan Malaysia tidak mendiskriminasi warga asing.

“Saya lihat ini satu cara menaikkan imej negara kita di mana Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengatakan kita tidak boleh  buat diskriminasi tidak kira pekerja tempatan dan asing.

“Ini akan menjayakan usaha kita untuk mengatasi isu buruh paksaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Restoran Palace Garden di Jalan Tun Sambathan di sini hari ini.

Sebagai rekod, kerajaan tetap dengan keputusan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 walaupun ditentang segelintir pihak.

Saravanan telah menegaskan baru-baru ini beliau tidak akan membuat pusingan U  meskipun didesak pihak majikan tertentu.

Terdahulu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia menyifatkan pelaksanaan gaji minimum  baharu ini sesuai dilaksanakan pada masa ini.- MalaysiaGazette