Kamera AWAS di lebuhraya berjaya merekodkan kesalahan pandu melebihi had laju di lebuhraya dan melanggar lampu isyarat merah pada hari pertama Op HRA 2022 JPJ semalam.

PUTRAJAYA – Hari pertama OpHari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula semalam merekodkan sebanyak 5,021 kesalahan memandu melebih had laju di lebuh raya.

Kesalahan tersebut dikesan menerusi 45 Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang telah beroperasi sepenuhnya.

Ia membabitkan sebanyak 29 kamera bagi memantau kesalahan melebihi had laju, manakala selebihnya 16 kamera lagi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah, kata JPJ dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut JPJ, sebanyak 750,903 kenderaan telah direkodkan melalui kamera AWAS di lebuh raya seluruh negara.

Selain kesalahan memandu melebihi had laju, sebanyak 236,671 kenderaan telah melalui kamera AWAS di lampu isyarat dan rakaman kamera merekodkan sebanyak 966 kenderaan melanggar isyarat lampu merah.

“Kedua-dua kesalahan ini antara kesalahan utama yang akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun mengikut Seksyen 79, Akta 333 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette