Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan komitmen dengan menyediakan pelaburan modal bagi memastikan pendigitalan proses kerja penjawat awam dilakukan selaras dengan peredaran zaman.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, antara usaha yang boleh meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dalam era pandemik adalah dengan membangunkan platfom digital seperti insiatif pemyimpanan awam yang memerlukan pelaburan besar.

Inisiatif itu termasuklah menyediakan kemudahan peralatan kepada penjawat awam.

“Kakitangan awam pula perlu berusaha untuk menyerapkan elemen digital dalam penyampaian perkhidmatan seperti mana tema sambutan hari pekerja CUEPACS tahun ini. Melalui pendekatan ini dan proses saling lengkap melengkapi maka segala cabaran yang mendatang akan ditempuh bersama demi Keluarga Malaysia. Selamat Hari Pekerja.

“Terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh oleh kakitangan awam dalam usaha meningkat kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi kehendak orang ramai.

“Tidak dapat tidak, salah satu solusi yang perlu diberi perhatian ialah pendigitalan proses kerja dipelbagai peringkat dan wawasan ini mampu dicapai dengan penglibatan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan kakitangan awam itu sendiri,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Pekerja 2022 hari ini.

Dalam masa yang sama, Adnan berkata, keselamatan siber seperti kebocoran maklumat perlu diberi perhatian.

Tambah beliau, kakitangan awam juga perlu bersedia mendepani cabaran keselamatan siber dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran digital seperti menghadiri program-proram latihan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan kompetensi digital ini.

“Ketua-ketua jabatan pulak bertanggungjawab melakukan perancangan dan pemantauan yang jitu,” tambahnya.

Beliau berkata demikian, sempena sambutan hari pekerja tahun 2022 CUEPACS dengan tema ‘Kelestarian Pendigitalan Mendepani Cabaran’.- MalaysiaGazette