kereta estima yang dipecahkan dan wang serta dokumen bank yang dilarikan suspek dalam kejadian di tapak perkuburan di Kajang. Ihsan IPD Klang Selatan.

KLANG – Nampaknya tiada kawasan yang selamat sampai kawasan parkir kereta di tanah perkuburan pun menjadi sasaran penjenayah!

Itu yang berlaku kepada seorang pemilik syarikat apabila cermin kenderaan Toyota Estima yang diparkir di ruang tempat meletak kenderaan di Tanah Perkuburan Islam Lipat Kajang di sini telah dipecahkan penyamun.

Akibatnya, beliau kehilangan wang tunai RM6,500 serta sebuah beg galas yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan buku cek milik syarikat.

Lebih malang lagi wang tersebut adalah untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa seorang lelaki warga emas tempatan berusia 61 tahun meletakkan kenderaan sekitar jam 9 pagi, lebih kurang 100 meter daripada petak kubur yang diziarahinya.

Katanya, pada jam lebih kurang 9.30 pagi, selepas kembali ke kereta tersebut, mangsa mendapati cermin bahagian pemandu telah pecah.

“Semasa kejadian tiada apa-apa bunyi penggera kereta tersebut berbunyi dan dipercayai pintu kereta tidak dibuka.

“Mangsa tidak menyedari dan tidak nampak kejadian itu berlaku,”katanya dalam kenyataan pada malam tadi.

Tambah beliau, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tapak perkuburan itu telah menyukarkan siasatan polis.

Bagaimanapun katanya, menurut anak mangsa dia terlihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar dengan motosikal di sekitar lokasi tersebut sebelum kejadian berlaku.

“Anak mangsa telah melihat suspek yang berpakaian baju-t berlengan pendek dan berseluar pendek.

“Pengecaman berdasarkan kulit tangan didapati suspek seorang lelaki tempatan berkulit gelap dan menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna kuning dan bernombor pendaftaran tidak pasti.

“Polis giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan dan memberkas suspek,” ujarnya.- MalaysiaGazette