LUMUT – Anggota dan juga pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terpaksa bertugas menjaga perairan negara mengakui diri mereka sedih kerana tidak dapat bersama keluarga tercinta untuk menyambut lebaran hari ini.
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, meraikan satu Syawal bersama dengan orang tersayang merupakan nikmat tidak ternilai dan mahu dirasai oleh semua orang.
Apatah lagi, keseronokan dan kemeriahan Aidilfitri pada sambutan kali ini pasti menimbulkan kelainan setelah dua tahun ia tidak dirai dalam suasana normal ekoran pandemik Covid-19.
Juruplot Tektikal Peperangan, Bentara Kanan, Mohammad Firdzri Che Li berkata, beliau amat merindui kedua orang tuanya di Bintong, Perlis selepas yang tidak menemui mereka sejak sekian lama ekoran terlibat dengan Ops Benteng ketika negara dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Bagaimanapun bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berbangga dengan tugasnya menjaga kedaulatan tanah air daripada dicerobohi musuh dan itu dianggapnya satu amanah dan tanggungjawab perlu digalas sebagai benteng pertahanan negara.
“Sepanjang saya bertugas dalam pasukan ini sudah empat kali saya terlibat dalam operasi ketika semua umat Islam meraikan Aidilfitri.
“Meskipun begitu, saya juga diberikan cuti selepas beberapa hari, perayaan disambut. Saya bertugas dengan penuh bangga kerana saya dapat menjaga keamanan di negara ini,” katanya yang merupakan petugas di kapal KD Mahawangsa, sebuah kapal TLDM yang berperanan sebagai kapal sokongan pelbagai peranan.
Pegawai Laksana KD Mahawangsa, Komander Khairil Anuar Jamaludin pula rasa sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan keluarga namun terubat apabila kemeriahan itu dirai bersama anak-anak buahnya di atas kapal.
Katanya, dia menganggap kelasi-kelasi kapal KD Mahawangsa yang dikendalikan sebagai sebahagian daripada keluarganya dan disebabkan itu perasaan sedih tidak perlu digambarkan apatah lagi mereka semua adalah seorang perwira.
“Seperti yang pernah saya maklumkan kepada anak-anak buah kapal KD Mahawangsa adalah rumah kedua kepada kita semua.
“Kita ini seperti keluarga walaupun menyambut raya di laut kita boleh sambut juga secara sederhana tanpa ada keluarga di sisi,” ujarnya yang memberitahu seringkali mengingatkan isteri dan anak-anaknya mengenai pengorbanan beliau sebagai seorang pegawai tentera.
Perkara sama turut dirasai Petugas Komunikasi KD Mahawangsa, Laskar Kelas I, Muhamad Ismail Hamzah apabila menyambut perayaan di atas kapal hanya boleh dilakukan secara sederhana.
Katanya, ia sangat berbeza berbanding jika dapat meraikannya bersama ibu, ayah dan adik beradik di kampung.
“Saya rasa sedikit gembira dapat juga menyambut lebaran bersama dengan rakan-rakan di atas kapal. Rasa sedih tetap ada bila teringat kampung halaman tapi semua itu harus dikorbankan demi menjaga kedaulatan negara tercinta,” tambahnya.
Begitu juga, Timbalan Pegawai Bekalan KD Mahawangsa, Leftenan Madya Siti Noor Ameerah Amran yang memberitahu, hari raya Aidilfitri pada tahun ini merupakan perayaan yang ketiga tidak disambut bersama keluarga kerana terpaksa bertugas.
Katanya, meskipun dua tahun sebelum itu bertugas di darat dan hanya tahun ini diarah bertugas di atas kapal namun yang mengubati rasa rindunya kepada ahli keluarga di kampung adalah dengan membuat panggilan video kepada mereka.
Katanya, beliau menyedari agak sukar untuk sentiasa berhubungan bersama keluarga dan kawan-kawan di atas kapal ekoran faktor capaian internet yang tidak menentu.
“Dengan adanya kawan-kawan di atas kapal ni saya rasa mungkin okay je,” katanya.
Sementara itu, tukang masak KD Mahawangsa, Bintara Muda Mohd Firdaus Mohd Fadzil, berkata, ia sudah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan makanan kepada semua kelasi kapal termasuk juadah untuk dinikmati semasa hari raya.
Katanya, ia memang cukup mencabar buat dirinya menyediakan makanan untuk anak-anak kapal yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.
Tambahnya, daripada segi sajian, beliau cuba menyediakannya sama seperti di darat dengan hidangan menu hari raya bagi menaikkan moral anak-anak kapal.
“Mula-mula saya akan sediakan menu yang bersesuaian dengan hari raya…kemudian menu itu akan diberi kepada pegawai pemerintah untuk diluluskan.
“Apabila ia telah lulus barulah saya boleh menyediakan segala bahan untuk masakan yang dirancang sebagai hidangan di pagi hari raya,” katanya yang turut memaklumkan makanan seperti ketupat, lemang, rendang dan lain-lain adalah antara menu wajib disediakan. – MalaysiaGazette