Restoran Makanan Laut 99 milik JL Group penuh dengan penggemar makanan laut.

KUALA LUMPUR – Seandainya anda lalu kawasan sekitar Selayang, sudah pasti perasan papan tanda syarikat pemaju hartanah terkenal Kumpulan JL99 selain taman tema 99 Wonderland Park di sekitar berkenaan.

Malah ketika pandemik Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), JL99 tampil menyumbang lebih RM300,000 dalam bentuk keperluan asas serta wang tunai bagi keperluan keluarga B40 dan miskin tegar sekitar Selayang.

Terbaharu, JL 99 telah membuka sebuah restoran makanan laut bersebelahan 99 Wonderland Park yang direka dengan mengambilkira situasi Covid-19  termasuk pembinaan siling yang tinggi.

Pastinya ramai terpegun melihat restoran yang kelihatan ‘mewah’ serta saiznya yang besar sehingga mampu memuatkan sehingga 500 pengunjung pada satu-satu masa.

Namun premis berkenaan mampu dikunjungi oleh sesiapa sahaja memandangkan harganya berpatutan.

MalaysiaGazette yang berkunjung ke Makanan Laut 99 sempat berbual dengan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee yang begitu teruja dengan usaha membuka restoran berkenaan.

Jeff Lee berkata, idea membuka restoran makanan laut itu timbul kerana sudah ramai yang tampil memberi cadangan supaya ada kedai makan bersebelahan dengan 99 Wonderland Park bagi memudahkan pengunjung yang menghabiskan masa hampir seharian di taman tema itu.

“Saya kemudian mengambil inisiatif bersama pasukan saya untuk bercakap dengan pemain industri terutamanya dari sektor pelancongan.

“Seramai 150 pemandu pelancong telah bersetuju untuk membawa pelancong-pelancong asing dan tempatan yang berkunjung ke 99 Wonderland Park dan kemudian menikmati makanan laut yang segar di restoran kami.

“Kita telah buka pada 1 April lepas selepas kerajaan memberi beberapa pelepasan endemik. Pembukaan secara rasmi akan di adakan tidak lama lagi tetapi kerana kita sudah ada banyak permintaan kita buka juga awal-awal.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JL99 Group, Datuk Jeff Lee.

Kata Jeff Lee, antara objektif beliau dalam membuka restoran berkenan kerana mengambilkira keadaan ekonomi negara dan masyarakat dan bukanlah keuntungan semata-mata.

“Jika anda lihat, saya bersama JL99 Group tampil menyumbang semua keperluan penduduk setempat apabila melihat keadaan dan situasi mereka yang sungguh susah lagi-lagi selepas hilang pendapatan dan pekerjaan ketika PKP.

“Walaupun ketika itu semua kerja-kerja pembinaan terhenti kerana PKP sekaligus syarikat mencatat kerugian namun kita tetap merasakan adanya keperluan untuk membantu dan tidak hanya membebankan kerajaan semata-mata.

“Bagaimanapun peluang itu juga telah memberi peluang kepada kami khasnya saya sendiri untuk turun padang dan melihat penderitaan dan kesukaran hidup masyarakat kita.

Bercakap tentang jenis-jenis masakan dari makanan laut segar serta kelainan di restorannya, Jeff Lee mendedahkan sejak di buka sebulan lepas, ramai juga pengunjung sudah datang beberapa kali membawa keluarga masing-masing.

“Makanan laut segar mampu membuatkan ramai orang terliur dengan pelbagai rasa masak manis ikan, udang, ketam dan sotong boleh menyebabkan keinginan untuk makin memuncak.

“Dari ketam pedas manis dan masam hingga udang, ikan, lala, tiram, kekapis juga ada ayam goreng istimewa dengan setiap hidangan dimasak sempurna.

”Anda boleh mengambil dan memilih makanan laut kegemaran dari akuarium untuk dimasak mengikut citarasa pilihan sendiri, seperti telur masin, Sweet & Sour, butter creamy, Sambal Belacan, sos Thai, kari dan sebagainya.

“Pastinya makanan laut 99 ini dapat memuaskan hati para penggemar makanan laut dengan menu makanan laut premium dan import, disiapkan oleh chef utama cukup pengalaman lebih.

“Kita sediakan tempat untuk anak-anak mereka bermain, ada juga pentas jika mahu adakan majlis keraian. Kita juga ada bilik karaoke sambil makan untuk sesiapa yang datang dengan jumlah ramai.

“Selain itu ada juga ruangan yang kita sediakan di tepi tasik dengan air pancut muzikal berwarni-warni. Kita juga sediakan replika binatang bagi tujuan fotografi,” katanya.

Justeru Jeff Lee berharap masyarakat umum terutamanya penggemar makanan laut hadir sendiri untuk merasai makanan di restoran beliau.

“Jika sedap, terima kasih banyak. Jika ada kekurangan beritahulah supaya kami boleh betulkan. Tempat ini berwarna warni apabila ramai dari pelbagai bangsa dan usia datang, sememangnya satu Malaysia,” jelasnya.

Kepada sesiapa yang berminat, lokasi Restoran Makanan Laut 99 terletak bersebelahan di 99 Wonderland Park di Tasik Sri Murni, Selayang. -MalaysiaGazette