Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melawat menyantuni pesakit pada Program Menyantuni Petugas Kesihatan di Hospital Putrajaya, Wilayah Persekutuan. Foto MUHD NA'IM, 02 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Sempena musim perayaan Aidilfitri minggu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes positif Covid-19 di negara ini akan meningkat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,  peningkatan itu bagaimanapun hanya akan melibatkan pesakit bagi ketegori satu dan dua sahaja.

“Kes yang meningkat ini kebanyakkannya adalah dalam kategori 1 dan 2. Untuk tempoh dua bulan kita telah perhatikan trend Covid-19 kebanyakan kes adalah 99.5 peratus adalah kategori 1 dan 2.

“Kemasukan kes ke ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan semakin berkurangan dan jumlah kes kematian juga turut berkurangan.

“Kita melihat kepada lebihan kematian pada tahun 2022 dan enam bulan tahun 2021 akses mobiliti kita amat rendah kalau dibandingkan dengan sebelum pandemik,” katanya kepada media selepas hadir dalam program menyantuni petugas kesihatan sempena Hari Raya Aidilfitri di Hospital Putrajaya hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, jangkaaan itu disasarkan kerajaan selepas pembukaan sempadan pada April lalu.

“Setakat ini selepas kita membuka sempadan pada April, kita jangkakan kes akan meningkat tapi kes semakin menurun.

“Ini menunjukkan ketahanan imuniti kelompok daripada vaksin dan mereka yang telah dijangkiti dan telah pulih dan mereka ada ketahanan imuniti asli yang membantu kita membendung penularan jangkitan Covid-19 di negara kita,” katanya lagi.

Awal hari ini, KKM melaporkan negara mencatatkan angka harian positif Covid-19 bawah 2,000 kes apabila mencatat 1,503 kes semalam.

Sebelum ini, kali terakhir negara melaporkan angka harian bawah 2,000 kes ialah pada 14 April tahun lalu.

Perkembangan itu menyaksikan Malaysia terus mencatat trend penurunan jangkitan berbanding 2,123 kes baharu kelmarin, Jumaat (2,585), Khamis (2,944) dan Rabu (3,481). – MalaysiaGazette