KUALA LUMPUR – Hujan lebat kira-kira dua jam di Lembah Klang petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota dinaiki air.

Ekoran itu berlaku sedikit kesesakan jalan raya dan menganggu suasana hari pertama Raya Aidilfitri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang lengkap mengenakan baju Melayu sempat meninjau keadaan banjir sekitar Kuala Lumpur petang tadi.

Beliau juga meninjau kawasan yang dinaiki air berhampiran Sasana Kijang di Bank Negara Malaysia.

Beliau hadir bagi memastikan keadaan terkawal di lokasi dinaiki air itu.

Dalam posting di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shahidan ditemani Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah memantau kawasan itu yang mengakibatkan takungan air  atas jalan raya.

Turut hadir di lapangan termasuklah Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,, Datuk Azmi Abdul Hamid dan anggota Warden Trafik DBKL di kawasan terbabit bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas.

Hujan lebat dan tidak henti juga telah menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota agak sesak dengan kenderaan.

Dalam pada itu, beberapa netizen tampil memuji Shahidan yang tetap turun menjalankan tugas memantau ketika isu banjir walaupun hari raya.

Antaranya, Amrit Singh yang memberikan tanda bagus sambil memuji Shahidan dan DBKL kerana komited menjaga rakyat walaupun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sekurang-kurangnya 12 negeri termasuk Kuala Lumpur sehingga lewat petang tadi.

MetMalaysia berkata, cuaca tidak menentu ketika ini melibatkan seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

Selain itu, juga membabitkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. – MalaysiaGazette