Gambar hiasan

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) membantah cadangan badan, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini bahawa gaji pekerja yang memilih untuk bekerja dari rumah ‘work from home’ (WFH) dikurangkan sebanyak 10% hingga 12%.

Cadangan MEF jelas mencerminkan kerakusan golongan kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan dan gagal memahami realiti pekerja hari ini di Malaysia. Kita juga tidak hairan kerana mereka juga tidak menyokong sebarang penambahbaikan kepada pekerja seperti penetapan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022.

MEF sepatutnya lebih memahami kelebihan WFH para pekerja dari segi kesihatan mental, emosi dan juga fizikal. Kebanyakan mereka yang bekerja dari rumah, ialah mereka yang terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya untuk sampai ke pejabat, sesuatu kebiasaan di sekitar bandaraya besar seperti Kuala Lumpur.

Rancangan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam masih tidak memadai dan walaupun MRT dan LRT telah dibina, ramai pekerja masih mengalami masalah menggunakan kemudahan ini disebabkan kesesakan jalan raya yang mengakibatkan bas perantaraan tidak mengikuti masa yang ditetapkan.

Ini memaksa para pekerja membazirkan masa dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Masa ini patut diluangkan bersama keluarga mereka, untuk beriadah atau berehat. Tiada suatu majikan pun yang mengambil kira masa perjalanan tambahan ini sebagai waktu bekerja.

Tidakkah MEF sedar bahawa, ramai pekerja menampung kos yang tinggi untuk membeli atau menyewa kediaman sehampir yang mungkin dengan tempat kerja mereka? Kos sewaan atau hartatanah yang tinggi berhampiran dengan tempat kerja mereka tidak ditanggung oleh majikan. Maka bagi mereka yang hanya mampu tinggal berjauhan dari tempat kerja, perjalanan mengambil masa beberapa jam untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja. Tambahan pula dengan kesesakan jalanraya dan kejadian banjir kilat yang kerap di bandar raya.

MEF turut berbincang tentang pengurangan atau pemotongan penuh elaun perjalanan pekerja. Ini adalah tidak adil untuk pekerja di kebanyakan syarikat yang menggunakan alasan elaun tambahan tersebut sebagai sebahagian daripada gaji keseluruhan pekerja tanpa menyumbang kepada KWSP mereka. Jikalau MEF ingin memotong elaun ini, adalah perlu untuk mereka juga meningkatkan gaji pekerja untuk mengimbangkan impak terhadap para pekerja.

Menurut Kisi Work-Life Balance Report 2020, golongan pekerja di Malaysia merupakan keempat paling banyak meluangkan masa bekerja di antara 50 negara lain. Ini bermakna, walaupun ramai pekerja bekerja dari rumah (WFH), tiada impak kepada produktiviti. Sebaliknya ianya menjimatkan kos bagi majikan, kerana kurang membayar bil utiliti pejabat dan sewa pejabat.

Maka dengan tahap produktiviti yang tidak menurun, dan kos pejabat pula berkurang, apakah rasionalnya majikan memotong gaji pekerja?! Tambahannya pula kini kos pejabat kini dipindahkan ke pekerja pula, apabila kegunaan elektrik , air dan internet dirumah mereka meningkat apabila bekerja dari rumah.

Bekerja dari rumah juga bermaksud, bahawa majikan mengeksploitasi masa kerja melebihi 8 jam dari pekerja tersebut tanpa keperluan membayar gaji kerja lebih masa ‘overtime’ kepada mereka. Dengan pelbagai penjimatan yang dinikmati oleh majikan, bila pekerjanya bekerja dari rumah, maka cadangan MEF untuk memotong gaji adalah hanya untuk memaksimakan keuntungan dengan merampas hasil tenaga kerja dari pekerja mereka.

MEF sepatutnya lebih memahami bahawa para pekerja adalah aset utama semua industri dan hak mereka haruslah dipertahankan. MEF harus mencampakkan cadangan mereka malah meningkatkan gaji mereka kerana peralihan kos utiliti dari pejabat ke rumah. Bekerja dari rumah (WFH) juga harus digalakkan untuk mengurangkan tekanan emosi dan mental yang dialami ramai pekerja disebabkan pelbagai isu di atas.

Geetha Anbalagan
Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast