Husam Musa

KUALA LUMPUR – Rakyat Kelantan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Husam Musa berkaitan bekalan air di negeri itu.

Shahir Adnan yang merupakan Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, isu air di negeri itu sering menjadi modal politik pihak pembangkang.

“Rakyat Kelantan diminta tidak terpengaruh dengan dakyah dan cerita berat sebelah Husam Musa.

“Sejak kepimpinan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man negeri Kelantan tidak lagi dianaktirikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahir Adnan
Shahir Adnan

Menurut Shahir, bilangan loji rawatan air (LRA) di Kelantan kini mencecah 34 logi dengan liputan bekalan sebanyak 72 peratus.

Tambah Ketua Dewan Pemuda Ikatan itu lagi, bagi mengatasi isu ketiadaan air atau tekanan rendah dengan segera, sebuah LRA di Kg Telok dengan kapasiti 30 juta liter sehari (JLH) sedang dibina.

Turut dalam pembinaan adalah LRA di Tanjong Mas dan Chicha II dengan kapasiti 40 juta liter sehari.

“Pembinaan jangka masa panjang di Kelantan adalah dengan pembinaan TAPS dan LRA bersepadu dengan kapasiti 500 JLH dianggarkan untuk meluaskan liputan air daripada 72% kepada 90% dalam masa terdekat.

“Rizab bekalan air juga dianggarkan meningkat dari sifar kepada 20%,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau meminta semua pihak termasuk syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk proaktif dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat Kelantan agar isu air tidak menjadi modal politik parti pembangkang di Kelantan.

Beliau juga mengajak semua pihak bersatu memulihkan isu air di Kelantan yang didakwanya dianaktirikan selama lebih 60 tahun.

“Isu ketiadaan air sewaktu kebakaran di Berek 12 Kelantan menjadi modal politik, walhal air bersih sebenarnya telah disalurkan dan terbukti mengalir dengan tekanan tinggi di kawasan tersebut,” kata Shahir.

Husam baru-baru ini menyoal keupayaan AKSB dan kepimpinan Pas di Kelantan dalam menguruskan air selepas lima buah rumah di Berek 12, Kota Bharu, Kelantan hangus terbakar.

Penduduk tempatan mendakwa kebakaran tersebut tidak dapat dikawal kerana kekurangan bekalan air.

Menurut penduduk, sudah 11 hari mereka tidak mendapat bekalan air termasuk ketika kebakaran berlaku menyebabkan pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan api.

Husam berkata, peristiwa tersebut dan kemarahan membuak rakyat jelata yang lama menderita – sepatutnya menjadi ‘titik berfikir’ semua rakyat Kelantan.

“Mengkaji punca kegagalan AKSB dalam tugas mereka secara khusus dan kegagalan berterusan Kerajaan Negeri pimpinan Pas.

“Ditambah menteri air kerajaan pusat (Tuan Ibrahim Tuan Man) juga dari Pas.

“Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Wan Hassan Mohd Ramli) juga adalah seorang Ahli Parlimen Pas (Dungun),” kata Husam.- MalaysiaGazette