Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah saat akhir sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Tingkah laku pembelian pengguna di negara ini menunjukkan anjakan penurunan apabila inflasi yang disebabkan terutamanya oleh harga komoditi tinggi, memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peningkatan harga minyak dunia dan konflik antara Rusia dan Ukraine dilihat sebagai punca utama yang menjejaskan rantaian bekalan dan mencetuskan kesan riak di seluruh ekonomi global.

Ia berkata pada Mac, Indeks Harga Pengguna (IHP) negara meningkat secara sederhana sebanyak 2.2 peratus kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, berikutan peningkatan inflasi makanan.

IHP digunakan untuk mengkaji purata wajaran harga kumpulan barangan dan perkhidmatan pengguna.

Inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh IHP,  melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9 peratus.

Pembeli hanya membeli barang keperluan asas

Menurut pengarah serantau Lulu Hypermarket Asif Moidu Ahamed, nilai bakul pengguna menurun apabila pembeli berhati-hati dalam berbelanja dan hanya membeli keperluan asas berbanding membeli barangan yang tidak perlu.

“Kita boleh melihat bahawa strategi membeli pengguna telah berubah. Mereka kini sangat berhemat dan membeli hanya barangan yang perlu seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan atau ayam,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga melihat bahawa pelanggan membeli dalam kuantiti yang berkurangan yang akan menjejaskan perolehan runcit.

Selain itu, Asif berkata senario pasaran semasa yang menyaksikan banyak jenama antarabangsa menawarkan tawaran pengurangan harga untuk menarik pelanggan, membuktikan bahawa trend membeli barang bernilai telah berubah dan pengguna sangat memilih dalam pembelian mereka.

Perang Rusia-Ukraine beri impak kepada harga barangan 

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata. perang Rusia-Ukraine memberi impak kepada rantaian bekalan yang seterusnya meningkatkan harga barangan.

“Isu itu diburukkan lagi dengan peningkatan kos logistik berikutan harga minyak yang tinggi yang memberi tekanan terhadap sektor pembuatan.

“Perang itu banyak memberi kesan kepada kita dari segi rantaian bekalan kita, tetapi harga komoditi tinggi terutamanya telah menambahkan lagi kos pembuatan pengeluaran serta kos produk,” jelasnya.

Gesaan menaikkan paras gaji

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng dalam memberikan pandangan bagaimana untuk menangani harga barangan makanan pengguna yang tinggi berkata pengguna isi rumah kurang terkesan oleh inflasi dengan kenaikan gaji sebanyak lima hingga enam peratus.

“Jangkaan masa bagi harga barangan kembali normal masih belum dapat diramal bergantung kepada tempoh konflik Rusia-Ukraine serta sekatan yang dikenakan ke atas Rusia yang menjejaskan bekalan komoditi utama global,” katanya.

Yeah juga mengingatkan  kepada pengguna agar bersiap sedia untuk berdepan dengan kenaikan harga barangan kerana ia dijangka kekal tinggi sepanjang tahun ini.

“Apa yang penting adalah kita perhatikan bahawa akan ada inflasi yang tinggi tahun ini,” katanya.

Di Amerika Syarikat, sebagai contoh, CNBC melaporkan bahawa indeks harga pengguna meningkat sebanyak 8.5 peratus pada Mac, naik sedikit berbanding jangkaan dan pada kadar tertinggi sejak 1981.

Sementara itu, Yeah menggesa kerajaan agar memastikan tidak berlaku kekurangan barangan pengguna dan rantaian bekalan kekal kukuh bagi mengelakkan peningkatan mendadak harga barangan.

“Mustahak untuk memastikan rantaian bekalan kekal kukuh dan sebarang tekanan akibat daripada penawaran dan permintaan boleh diukur sama ada menerusi subsidi atau mengembangkan penawaran.

“Bagi memastikan bekalan tidak terganggu, ia boleh dibantu dengan meningkatkan pengeluaran menerusi insentif untuk meningkatkan pengeluaran, sebagai contoh, membenarkan pengambilan pekerja asing bagi memastikan pengeluaran ladang yang berterusan,” katanya.

Kekurangan tenaga kerja masih menjadi isu mencabar

Mengulas mengenai isu tenaga kerja, Chin berkata meskipun pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka, angka jualan masih positif hasil daripada pembukaan semula sempadan pada 1 April.

Bagaimanapun, beliau berkata kekurangan tenaga kerja mungkin menjejaskan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.

Chin berkata masalah utama ini dihadapi bukan sahaja oleh PKS tetapi juga dalam industri lain seperti kilang, hotel dan pasar raya.

“Sebilangan besar pekerja asing telah kembali ke negara mereka dan PKS bergelut untuk memenuhi tempahan berikutan kekurangan buruh asing.

“Kebanyakan rakyat tempatan tidak berminat dengan pekerjaan 3D (Kotor, Bahaya, Susah), oleh itu kami berharap pekerja asing dapat kembali semula secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Yeah mencadangkan agar kerajaan mempermudahkan pengambilan pekerja asing dengan segera.

“Pemulihan ekonomi akan menjadi kukuh disebabkan oleh sokongan daripada peningkatan pengeluaran dan produktiviti PKS yang terkesan akibat daripada kekurangan tenaga kerja,” kata Yeah.

Margin akan masih mencabar sepanjang 2022

Kenanga Research masih mengekalkan saranan neutral ke atas sektor pengguna kerana margin dijangka kekal mencabar sepanjang 2022.

Menurutnya, hasil kasar dijangka kukuh sekiranya bukan lebih baik lagi ketika negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April, dengan waktu operasi telah kembali ke tempoh sebelum pandemik bagi aktiviti perniagaan tertentu, yang memberi manfaat terutamanya kepada peruncit.

“Fasa endemik akan menyaksikan sekatan perjalanan dimansuhkan secara berperingkat (termasuk yang dari luar negara) yang akan meningkatkan lagi aktiviti hotel, restoran dan kafe.

“Permintaan pada masa depan dijangka disokong oleh musim perayaan yang akan meningkatkan jualan makanan dan minuman,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata keuntungan masih mencabar memandangkan isu rantaian bekalan global sekarang yang membawa kepada harga input yang tidak menentu dan caj muatan.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac, mengunjurkan keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022, naik daripada 3.1 peratus pada 2021.

Bank pusat berkata ia akan disokong oleh pengembangan berterusan permintaan luaran, penarikan penuh langkah-langkah sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik.

Mengenai keseluruhan inflasi, BNM menjangka ia berada antara paras 2.2 dan 3.2 peratus pada 2022 di tengah-tengah inflasi asas yang tinggi manakala inflasi teras dijangka tinggi antara 2.0 dan 3.0 peratus berikutan permintaan kukuh di tengah-tengah tekanan kos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast