Mayat mangsa warga emas yang tersepit dikeluarkan pihak bomba.

MERSING – Seorang warga emas meninggal dunia manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan Kilometer 8 Jalan Nitar, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Yusof Deris, 66, yang memandu keretaHonda City, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di badan dan kepala.

Nahas berlaku ketika kereta Honda City itu dalam perjalanan dari Felda Nitar 2 menuju ke Mersing cuba memotong tetapi gagal lalu bertembung dengan Proton Persona di laluan bertentangan.

Waktu sama sebuah lagi kereta Proton Persona yang sedang berada di belakang Honda City turut berlanggar susulan pertembungan itu.

”Pemandu warga emas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Persona pula dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Yusof Mat Yar berkata, mangsa yang maut tersepit di tempat duduk pemandu Honda City manakala seorang wanita di tempat duduk penumpang pula cedera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast