Pelancong asing juga tidak melepaskan peluang bersiar-siar sempena cuti umum perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 03 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja sesak di jalan raya, tetapi pelbagai destinasi pelancongan juga mengalami kesesakan, sementara banyak restoran dikerumuni pelawat.

Berbanding keadaan lengang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai destinasi pelancongan negara telah menampakkan pemulihan mendadak semasa cuti berantai Aidilfitri dan Hari Pekerja.

Akhbar-akhbar Cina melaporkan antara “jalan” yang sesak teruk termasuk Jalan Petaling di ibu negara, Concubine Lane di Ipoh dan Jonker Walk di Melaka.

“Bukit” yang sesak pula adalah Bukit Bendera di Pulau Pinang serta Genting Highlands dan Cameron Highlands di Pahang.

Aktiviti pelancongan juga tidak lari daripada “makan-makan” sehingga restoran popular telah menjadi tumpuan ramai dan menampakkan “perbelanjaan ala balas dendam.”

Nanyang Siang Pau melaporkan, pelawat Genting Highlands perlu mengalami kesesakan lalu lintas dari “separuh jalan” sampailah ke puncak.

Walau bagaimanapun, kesesakan tidak berakhir dengan ketibaan di destinasi kerana setiap kemudahan hiburan di taman tema dan restoran juga sesak melampau.

Dengan ramai yang balik kampung sempena dengan cuti panjang, kedai-kedai makanan di Pulau Pinang dan Ipoh turut mengalami kesesakan dan barisan panjang, keadaan yang amat berlainan dengan tempoh PKP.

Di Melaka, orang ramai kelihatan berbaris panjang untuk memasuki sebuah kedai yang menjual makanan ringan.

Di Bentong, warga kota mengambil kesempatan melawat pekan di Pahang yang berhampiran dengan ibu negara itu sehingga beberapa kedai dipenuhi orang.

Di Cameron Highlands pula, ada pelawat yang kecewa kerana menerima saman trafik kerana tidak membayar fi letak kenderaan.

Keadaan itu dilaporkan berlaku kerana mereka tidak tahu pembayaran adalah diharuskan setiap hari, termasuk semasa cuti umum.

Sementara itu, Oriental Daily melaporkan, orang ramai beratur panjang dari waktu sebelum subuh untuk memasuki restoran dim sum dan banyak kedai kopi di ibu negeri Perak itu sesak.

Akhbar itu turut melaporkan lebih seratus orang beratur panjang untuk menjamu selera di sebuah kedai bakuteh di Kota Tinggi, Johor.

Kesesakan itu dikatakan didorong oleh kemasukan pelancong dari Singapura yang mengambil kesempatan cuti untuk melawat Johor. -MalaysiaGazette