A soldier died in an accident at Kilometre 46 Alor Setar-Butterworth last night.
A soldier died in an accident at Kilometre 46 Alor Setar-Butterworth last night. Anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Alor Setar-Butterworth, malam tadi.

SUNGAI PETANI – Hasrat seorang anggota tentera melawat isteri serta anaknya yang baru dilahirkan pada Isnin lalu berakhir dengan tragedi selepas dia maut dalam nahas di Kilometer 46 Jalan Alor Setar-Butterworth, malam tadi.

Kejadian jam 8.15 malam itu menyebabkan Muhammad Izzat Jefree, 27, meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Muhammad Izzat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 ketika perjalanan pulang ke rumah dari Bedong ke Gurun merempuh bahagian belakang kiri kereta Honda Accord yang sedang membelok masuk ke Taman Selesa, Bedong.

“Mangsa dikatakan terlalu dekat dengan kenderaan tersebut menyebabkan dia tidak sempat mengelak.

“Akibat rempuhan itu mangsa terpelanting sebelum jatuh atas jalan raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.

Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa yang bekerja di unit pemandu Kem Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu baru menimang cahaya mata sulung pada 1 Syawal lepas.

Difahamkan jarak lokasi nahas dengan rumah isteri mangsa sejauh lapan kilometer.

Jenazah mangsa dijangka dibawa ke kampung halamanya di Taiping, Perak bagi urusan pengebumian. – MalaysiaGazette