Rumah Terbuka Dr Azizan (kiri) turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

KUALA LUMPUR – Pengasas Richworks, Datuk Dr Azizan Osman mengakui syarikatnya mengamalkan skim cepat kaya dalam usaha melahirkan ramai usahawan menjadi jutawan.

Pakar motivasi terkenal itu menegaskan, RichWorks sebenarnya sebagai sebuah syarikat bimbingan dan latihan keusahawanan terbesar di negara membantu usahawan membina bisnes mereka.

“Ya, RichWorks memang ‘skim cepat kaya’ dan dia (Youtuber) sepatutnya ambil video billboard yang lain di sepanjang lebuh raya yang rata-rata merupakan anak didik kami. Bukan jenama syarikat saya sahaja.

“Jenama seperti Eskayvie, Nurraysa, Anggun Cotton, Chocodap’s, Sabella, Noir, Hasnuri dan banyak lagi pun ada di sepanjang lebuh raya,” katanya di media sosial miliknya ketika ditanya mengenai video tular dibuat seorang YouTuber mempersoalkan kesahihan RichWorks ketika dalam perjalanan balik raya baru-baru ini.

Pakar motivasi terkenal itu menjawab ‘kontroversi’ lancang YouTuber, Jebat Derhaka di Rumah Terbuka ahli keluarganya yang diadakan di kediamannya di Villa Mak Ayah, Taman Kenanga, Tengkera, di Melaka hari ini.

Azizan menambah, YouTuber itu boleh melihat sendiri anak-anak muridnya yang dibina bermula daripada kosong sehingga menjadi jutawan.

“Pergi dapatkan buku yang kita keluarkan tahun lalu. Bagi ‘adik’ (Jebat Derhaka) ini mungkin baru keluar gua gamaknya. Kita ada senarai 100 usahawan di Malaysia yang RichWorks bina.

“Bukti ini ada dalam buku 100 Usahawan Jutawan,” jelasnya.

Azizan memberitahu, jika YouTuber terbabit mahukan buku itu, pihaknya sanggup menghantarkan secara percuma.

“Malah menteri pun ‘endorse’ RichWorks dalam Parlimen. Nampak sangat dia duduk dalam gua, baru keluar balik raya, baru nampak billboard itu, kesian.

“Kemudian cakap itu ini, tanpa usul periksa. Sampai ada cakap semua ini gimik semata-mata,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Azizan sempat berseloroh dengan menyatakan dia adalah ‘Tuah’.

“Saya Tuah, Tuah Azizan, siapa yang saya bimbing insyaAllah dia bertuah,” katanya.

Terdahulu, Youtuber itu mempersoalkan adakah RichWorks ini seperti skim cepat kaya atau pak man telo yang kemudian mendapat perhatian netizen.

Dia bangkit mempersoalkan billboard RichWorks itu sebab mendakwa menjadi tempat lahirnya usahawan jutawan sedangkan nak jadi jutawan bukannya mudah.

Rumah Terbuka itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Isteri Datin Seri Munira M Yusop. – MalaysiaGazette