Azmi Abu Kassim menunjukan bahan bukti kes bunuh di Jalan Bukit Bintang Isnin lepas. -Gambar : IPK KL Azmi Abu Kassim menunjukan bahan bukti kes bunuh di Jalan Bukit Bintang Isnin lepas. -Gambar : IPK KL

KUALA LUMPUR – Kes tembak mati seorang lelaki di sebuah hotel di Bukit Bintang, dekat sini malam Isnin lalu selesai selepas dua lagi suspek ditahan di sekitar Puchong lewat petang semalam.

Sebelum ini, polis telah menahan suspek utama berusia 49 tahun pada malam kejadian di hotel berkenaan dan kini direman sehingga 9 Mei ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil siasatan awal polis mendapati ia ada kaitan dengan dadah.

”Pada 4 Mei 2022, jam 8.40 malam dua lelaki warganegara tempatan berusia antara 47 dan 51 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini ditahan di Puchong.

”Hasil tangkapan ini, kita berjaya menjumpai dan merampas sepucuk pistol Revolver .38 serta enam butir peluru dan satu lagi pistol semi auto Baretta bersama lapan butir peluru serta 1 kelopak peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) di sini sebentar tadi.

Polis turut merampas sebuah motorsikal RS 150 berwarna merah, dua topi keledar hijau dan warna putih, tiga telefon bimbit serta beg pakaian.

Kedua-dua lelaki ini direman mulai hari ini.

Senjata api antara pelbagai barangan yang dirampas daripada dua lelaki yang ditahan di Puchong, semalam.

“Dengan tangkapan dan hasil penemuan ini, polis percaya kita telah berjaya selesaikan kes pembunuhan tersebut,” ujar beliau.

Azmi berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati. Sidang media berjalan dengan lancar.

Kelmarin, Malaysia Gazette melaporkan, mayat lelaki berusia 49 tahun ditemukan dalam sebuah bilik di hotel dengan kesan tembakan di dahi pada jam 7 malam.

Polis mendapati mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam bersama seorang rakan lelakinya.

Laporan awal menyatakan mereka dikatakan dari Johor.

Namun, Azmi berkata, tujuan mangsa dan rakannya datang ke Kuala Lumpur masih dalam siasatan polis.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, kata Azmi, mangsa tersebut memiliki 13 rekod lampau, rata-ratanya berkaitan dadah dan satu daripadanya kes bunuh membabitkan siasatan di bawah Seksyen 302 serta culik.

“Suspek utama ada tujuh rekod lampau juga melibatkan kesalahan-kesalahan dadah. Mangsa dan suspek utama ini berasal dari alamat sama di Johor manakala yang dua lagi di Kuala Lumpur.

”Daripada siasatan awal, kita dapati kesemua suspek berada dalam bilik hotel sebelum insiden tembak itu berlaku. Polis percaya perjumpaan mereka ini atas urusan dadah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Lelaki tempatan ditemui mati dengan kesan tembakan

Kes tembak: Polis buru dua lagi suspek