palm oil benefits

PARIS – Larangan produk minyak sawit Indonesia tidak menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan bagi pasaran Kesatuan Eropah (EU) kerana blok itu mempunyai rizab selama beberapa minggu, kata kumpulan minyak sayuran EU FEDIOL.

Indonesia yang merupakan pengeluar minyak sawit terkemuka dunia telah mengenakan larangan eksport ke atas bahan mentah untuk minyak masak, termasuk beberapa produk seperti olein sawit (RBD) ditapis, diluntur dan dinyahbau, minyak sawit mentah dan ditapis, dalam usaha menurunkan harga minyak masak.

EU mengimport kira-kira 335,000 tan minyak sawit mentah dari Indonesia secara purata setiap bulan, mewakili lebih 40% daripada jumlah import minyak sawit mentah, kata FEDIOL.

Ia juga mengimport dari lain-lain negara termasuk Malaysia, Papua New Guinea dan beberapa negara Amerika Latin.

“Pada masa ini terdapat 4 hingga 6 minggu jumlah minyak sawit tersedia di kemudahan penyimpanan Eropah dan keputusan sementara oleh kerajaan Indonesia tidak menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan di pasaran Eropah dalam jangka pendek,” kata FEDIOL.

Dalam satu kenyataan berasingan sebelum ini, organisasi itu berkata, bekalan minyak bunga matahari telah bertambah baik di EU sejak beberapa minggu lalu apabila pengeluar menyesuaikan diri dengan kekurangan bekalan Ukraine dan beberapa minyak bunga matahari telah tiba dengan kereta api dan trak. – Reuters (https://www.reuters.com/article/indonesia-palmoil-europe/indonesias-palm-oil-export-ban-does-not-threaten-eu-supply-producers-idUSKCN2MQ0XK)