Mayat mangsa terjun Jambatan Pulau Pinang dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Mayat seorang lelaki yang bertindak terjun Jambatan Pulau Pinang selepas meninggalkan motosikal di kilometer 4.2  arah Perai menghala pulau ditemui terapung petang tadi.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat  lelaki berusia 40 tahun itu ditemui orang awam berhampiran Persiaran Karpal Singh, di sini, pada jam 2.40 petang.

APMM melakukan operasi mencari dan menyelamat bersama beberapa agensi lain.

Kata beliau, berdasarkan pemeriksaan polis serta barang peribadi yang ditinggalkan di atas jambatan itu mendapati mayat ditemui merupakan mangsa terjun jambatan yang dilaporkan berlaku jam 8.40 pagi.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Maritim Malaysia di Jeti Polis Marin Batu Uban telah menerima makluman berkaitan penemuan mangsa.

“Susulan itu, bot PERKASA 1221 dan aset agensi yang terlibat diatur gerak ke lokasi sebelum membawa mayat mangsa ke Jeti Pendaratan Ikan LKIM Jelutong.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat tamat pada jam 4.40 petang.

 “Orang awam juga diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146,” kata beliau. – MalaysiaGazette