abdul hadi awang urusan mahkamah
Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diberi peluang untuk mentadbir negara sehingga habis penggal.

Tempoh tersebut diperlukan bagi membolehkan rakyat bertenang selepas sekian lama bergelut dengan wabak Covid-19, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tidak ada keperluan mendesak untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secara tergesa-gesa dalam tempoh terdekat.

Atas faktor tersebut katanya, semua negeri yang ditadbir oleh Pas akan terus berjalan seperti biasa sehingga tempoh penggal tamat.

“Kita sudah buat kenyataan yang tiga kerajaan negeri (diperintah Pas) dibubarkan hingga habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, berpolitik bersama dengan wabak yang belum lagi selesai.

“Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada untuk melaksanakan tugas dalam tempoh secukupnya, oleh itu kita bersetuju PRU-15 ditangguhkan,” katanya.

Bagaimanapun ketika bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini, Abdul Hadi berkata, Pas tetap bersiap-siaga untuk berdepan PRU-15.

Tambah beliau, parti yang berteraskan Islam tersebut sudah menggerakkan jenteranya di seluruh negara termasuk menambah cawangan dan ahli.

Mac lalu, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga habis penggal, tahun depan.

Pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan parti pimpinannya itu komited dengan agenda perpaduan ummah.

Pas akan meneruskan kerjasama dengan dua parti Melayu terbesar iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di samping Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangannya, tetapi sehingga kini Pas terus membawa agenda perpaduan ummah iaitu Islam dan umat manusia,” katanya.- MalaysiaGazette