Hendra Ardi Jumain, 45, yang kehilangan kaki kanan pada tahun 2018 akibat kemalangan jalan raya bergambar ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Desa Tasik, Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Perasaan sebak menyelubungi Hendra Ardi Jumain apabila mengimbau jasa keringat ibunya ketika beliau mula bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada Mei 2018

Lelaki berusia 45 tahun itu tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan ibunya yang hanya berkerusi roda, namun masih sanggup ‘terbang’ dari Sabah ke ibu negara demi menjaganya lebih tiga bulan.

“Sebelum saya jadi OKU, ibu saya orang pertama yang jadi OKU dulu selepas dia diserang strok pada 2009, kemudian saya balik jaga ibu saya selama tiga bulan di Sabah.

“Bila saya teringat kembali, ibu saya yang strok dan cacat itu boleh datang dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk jaga saya lebih tiga bulan, hanya air mata yang dapat luahkan sebak saya atas segala jasanya,” kata Hendra ketika wartawan MalaysiaGazette menyantuninya di Pangsapuri Desa Tasik, di sini, baru-baru ini.

Hendra Ardi Jumain, 45, yang kehilangan kaki kanan pada tahun 2018 akibat kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai pemandu kren bergambar selepas menerima bantuan ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Desa Tasik, Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Kunjungan tersebut bagi mengagihkan bantuan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan memerlukan dalam menjayakan Program MG Prihatin 2022.

Mengulas lanjut, Hendra berkata, sambutan Aidilfitri pada kali ini kurang bermakna buatnya selepas bapa beliau di kampung tidak sihat akibat jangkitan Covid-19 sebelum ini.

“Jiwa saya kurang untuk beraya tahun ini sebab mak ayah saya sakit di kampung. Terutama ayah saya sekarang ini tidak sihat akibat kesan Covid-19 sebelum ini. Selepas saya balik Kedah, saya nak balik Sabah pada minggu kedua Syawal untuk ziarah mereka,” ujarnya.

Junaidah Abu Bakar, 46, ibu tunggal kepada dua orang anak setelah kehilangan suaminya dua tahun lepas akibat penyakit buah pinggang ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Seri Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Junaidah Abu Bakar berkongsi kisah kedukaannya apabila bersendirian membesarkan dua orang anaknya yang masih bersekolah setelah kehilangan suaminya.

Tidak dapat menahan sebak, Junaidah mengakui pemergian suaminya akibat komplikasi penyakit buah pinggang pada April 2020 memberi cabaran besar buatnya untuk meneruskan kehidupan harian.

“Sayalah ibu, saya jugalah ayah buat anak-anak. Memang berat untuk saya terima, tapi saya kuatkan diri hanya untuk melihat anak-anak membesar dengan baik,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Junaidah Abu Bakar, 46, ibu tunggal kepada dua orang anak setelah kehilangan suaminya dua tahun lepas akibat penyakit buah pinggang bergambar selepas menerima sumbangan ketika Program CSR MG Prihatin Ramadan 2022 di Pangsapuri Seri Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2022.

Wanita berusia 46 tahun itu turut melahirkan rasa syukur kepada MalaysiaGazette atas sumbangan Program MG Prihatin 2022 yang cukup bermakna buatnya.

“Syukur sangat dapat sumbangan daripada MalaysiaGazette ini, moga dapat ringankan beban saya membesarkan kedua-dua anak saya yang masih sekolah lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast