Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAlS) mengingatkan semua pihak sama ada individu atau kumpulan termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk tidak memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan selepas mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

Mohd Shahzihan berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

“Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan mana-mana individu membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Mohd Shahzihan berkata, oleh itu pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau dan musolla di bawah pentadbiran masing-masing.

Dalam masa yang sama katanya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS.

Beliau berkata justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa sumbangan untuk memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor dan boleh juga menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS. – MalaysiaGazette