Identiti suspek samun penyampai berita di damansara Perdana sehingga mangsa mengalami kecederaan berjaya dikenalpasti dan usaha mengesan dipergiatkan

PETALING JAYA – Identiti suspek yang menyamun seorang penyampai berita stesen televisyen tempatan di Damansara Perdana Rabu lalu sudah dikenal pasti.

Pada masa ini, polis sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menjejaki suspek tersebut, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood.

“Kita sudah kenalpasti (suspek) dan sedang kesan untuk ditangkap segera,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Dalam kejadian tersebut mangsa lelaki itu mengalami kerugian berjumlah RM500 apabila komputer riba miliknya dilarikan suspek tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176 bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam Ketua Polis Daerah Petalinbg Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa mengalami kecederaan selepas diseret ketika cuba mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu mangsa berusia 34 tahun itu mengalami luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang bertindak melarikan diri.

Ketika kejadian, mangsa meletakkan kereta Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka di lokasi terbabit.

Ketika kembali semula ke kenderaannya, mangsa mendapati suspek berjaket sedang menendang cermin sisi kereta sehingga pecah sebelum mengambil beg miliknya yang ditinggalkan di dalam kereta. – MalaysiaGazette