MELAKA – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) sudah bersedia dengan segala usaha untuk mengawal penularan Covid-19 di sekolah bermula Isnin ini susulan jangkaan berlaku peningkatan kes akibat gelombang Aidilfitri.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, ibu bapa sehubungan itu dinasihatkan tidak perlu bimbang untuk terus menghantar anak ke sekolah seperti biasa.

“Saya yakin dan percaya kalau ada kes Covid-19 tiba-tiba mendadak naik kami di peringkat kerajaan negeri akan pastikan benda itu dikawal selia dengan baik.

“Kita akan sentiasa alert (peka) kalau berlaku sahaja kes kita akan pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu dipatuhi balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Paya Rumput, di sini, hari ini.

Rais diminta mengulas mengenai trend ibu bapa yang kerap ‘mencutikan’ anak-anak mereka ke sekolah sebelum Aidilfitri lalu dengan alasan kebimbangan dijangkiti Covid-19 sebelum cuti perayaan.

“Memang saya pun ada dengar begitu, tapi saya tak dapat satu laporan yang lengkap lagi, jadi tak bolehlah ulas sebab tiada perincian.

“Bagaimanapun, saranan saya kepada ibu bapa, ikutlah saranan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mana kalau kita sudah boleh bersekolah secara penuh, saya minta hantarlah anak ke sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette