Tong Keong memberikan bunga Carnation sempena sambutan Hari Ibu kepada pengunjung Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang.

BAYAN BARU – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan DAP membatalkan cadangan penswastaan pasar awam serta gerai penjaja makanan di negeri ini.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, penswastaan pasar awam serta gerai penjaja makanan dalam pasar itu bukan saja akan membebankan peniaga malah akan menyebabkan kenaikan harga barang jualan termasuk makanan kepada pengguna.

“Kadar sewaan yang dikenakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika ini sudah memadai namun jika ia diswastakan kita bimbang peniaga berdepan kenaikan bayaran sewa.

“Bila sewa naik semestinya harga jualan akan dinaikkan dan ini sekali gus akan membebankan pengguna yang selama ini boleh membeli barang serta makanan dengan kadar murah di pasar awam,” katanya.

Pengunjung pasar awam menerima bunga sempena sambutan hari ibu esok daripada Parti Gerakan Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan 300 kuntum bunga Carnation sempena sambutan Hari Ibu di lapan kawasan termasuk Pasar Awam Bayan Baru, hari ini.

Kata beliau, bunga yang sinonim dengan wanita itu diberi sebagai menghargai golongan berkenaan yang tabah mengharungi kehidupan pada masa kini.

“Program ini diadakan di pasar awam berikutan terdapat ramai wanita yang berurusan di sini bagi membeli keperluan dapur untuk kegunaan keluarga,” kata Tong Keong.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, beberapa peniaga menyatakan kebimbangan mereka berhubung isu tersebut namun sehingga kini penswastaan itu belum dilaksanakan susulan pandemik Covid-19.

“Mereka (peniaga) bimbang kerajaan negeri akan melaksanakan cadangan penswastaan itu susulan perkembangan ekonomi selepas pandemik.

“Sehubungan itu, kita gesa kerajaan negeri dibawah pimpinan Chow Kon Yeow batalkan cadangan tersebut,” ujar beliau.

Difahamkan lapan pasar awam yang dipercayai akan diswastakan antaranya Pasar Awam Chowrasta, Paya Terubong, Kompleks Penjaja Jalan Tengah, Jalan Sungai Pinang serta Jalan Terengganu. – MalaysiaGazette