Muhammad Firdaus melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bas ekspres dalam Ops Hari Raya Aidilfiri (Ops HRA), di Terminal Bas Melaka Sentral, Melaka, Melaka.

MELAKA – Seorang pemandu bas ekspres ditahan selepas dipercayai positif dadah jenis ganja dalam Ops Hari Raya Aidilfiri (Ops HRA), di Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelaki berusia 38 tahun itu yang masih dalam pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ditahan pada jam 9.30 malam sebelum sempat memandu bas bagi trip perjalanan ke Kedah.

Menurutnya, lelaki terbabit diupah sebuah syarikat bas bagi menggantikan pemandunya yang tidak hadir yang dijadual menuju ke Kedah pada jam 10 malam.

“Hasil pemeriksaan, pemandu bas ganti itu didapati positif dadah jenis ganja dan kita telah mengarahkan syarikat berkenaan mencari pemandu bas lain menggantikannya.

“Pemeriksaan mendapati, lelaki berkenaan yang masih dalam pengawasan AADK datang dari Kedah semata-mata untuk membawa penumpang bas terbabit ke Kedah pada jam 10 malam,” katanya.

Muhammad Firdaus Shariff

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan di Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata, dalam Ops HRA yang bermula 29 April lalu sehingga Khamis lalu pihaknya telah memeriksa 944 kenderaan dan mengeluarkan 174 tindakan.

“Antara kesalahan utama adalah tidak mematuhi lampu isyarat merah sebanyak 22 kes, lebih muatan (14), tidak memakai topi atau tali pinggang keledar (13), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (6), memotong barisan (5) dan memandu di lorong kecemasan empat kes.

“Manakala Terminal Bas Melaka Sentral sahaja, kita telah memeriksa 326 bas dan 122 pemandu selain tindakan penyamaran namun setakat malam ini, kita tidak mengesan sebarang kesalahan dilakukan pemandu bas ekspres,” katanya.

Tambahnya, JPJ akan mempertingkatkan perception of being caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya untuk keselamatan bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast