Allahyarham Datuk Hashim Jahaya (Gambar kredit laman FB Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah)

ALOR SETAR – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia di kediamannya di Taman Suria dekat Pantai Johor di sini hari ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, beliau dimaklumkan Hashim, 60, meninggal dunia kira-kira 2.30 pagi.

“Saya dalam perjalanan ke rumah Allahyarham pada 3 pagi tetapi telah dimaklumkan oleh seorang anaknya bahawa arwah telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Allahyarham memang ada masalah buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis.

“Arwah buat rawatan sejak tahun lepas lagi tapi kebelakangan ini nampak kesihatannya makin merosot. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah ketika majlis berbuka puasa pada 23 April lepas dan ketika itu dia masih sihat dan sempat berucap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, Hashim yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah pada 2004 itu turut memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah.

“Sebagai ketua, arwah memang fokus pada kerja-kerja parti walaupun sibuk bekerja sebagai seorang peguam. Cara kerja arwah juga memang perlu dilaksanakan dengan mantap dan kami sedang membuat persiapan rapi untuk pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

“Memang sedih dengan kehilangan Allahyarham tetapi kami semua reda. Kami akan teruskan legasi dan akan cuba memenuhi hasrat arwah yang ingin melihat UMNO menang balik di Parlimen Kuala Kedah,” katanya. – Bernama