Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua 123 cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara akan beroperasi esok bagi membolehkan bakal haji yang terpilih pada Musim Haji 1443H/2022M menghantar surat terima tawaran haji, buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat dan pasport antarabangsa.

Ia berikutan pengumuman TH untuk melanjutkan tarikh menjawab surat
tawaran tunai haji kepada Isnin ini.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata,
bakal haji boleh hadir ke mana-mana cawangan TH daripada pukul 8.45 pagi hingga 4
petang.

“Ia bertujuan mengelakkan kesesakan di cawangan-cawangan TH dengan pendeposit untuk berurusan sempena cuti hari raya yang panjang.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi kemudahan dan untuk melancarkan urusan bakal jemaah haji walaupun hari Ahad merupakan hari cuti di kebanyakan negeri.

“Kami berharap bakal jemaah haji dan juga pendeposit dapat memanfaatkan peluang ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Di samping itu, tambah beliau, pendeposit juga boleh hadir untuk perkhidmatan simpanan dan pengeluaran serta penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun
dewasa.

Orang ramai boleh mengemukakan pertanyaan dengan hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603-62071919; Faks: +603-77284959 dan Emel: [email protected] – MalaysiaGazette