Suspek kes samun penyampai berita tv di reman tujuh hari bermula hari ini.

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas seorang lelaki yang disyaki menyamun seorang penyampai berita televisyen di Damansara Perdana, kelmarin.

Majistret Syafiq Affandy Hasan membenarkan perintah reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes samun itu.

Suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 11.40 pagi menundukkan kepalanya bagi mengelak dirakam media yang menunggu untuk membuat liputan kes tersebut sejak jam 8 pagi.

Bagaimanapun tidak kelihatan kelibat wanita yang turut ditahan polis semalam.

Difahamkan wanita itu yang merupakan adik perempuan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan beliau telah dilepaskan atas jaminan polis.

Semalam Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata lelaki dan wanita berusia 31 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang di Puncak Alam.

Semakan polis mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes dadah dan 15 rekod jenayah orang dikehendaki polis berkaitan dadah.

Polis turun merampas beberapa barang kes yang dipercayai hasil kejadian samun termasuk sebuah kereta yang digunakan suspek dalam kes itu.

Kes di siasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian jam 3.40 petang kelmarin, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 30-an mendapati kereta miliknya yang diletak di tepi jalan berhampiran kawasan Damansara Perdana sedang dipecah oleh seorang suspek.

Suspek menendang cermin di bahagian penumpang hadapan kereta telah mengambil beg milik pengadu mengandungi komputer riba serta barangan peribadi lalu melarikan diri setelah menyedari kehadiran pengadu.

Pengadu telah mengejar suspek lalu berlaku pergelutan dan beg milik pengadu telah terjatuh dari kereta suspek. – MalaysiaGazette