Pelajar membuat pendaftaran sebelum memasuki kolej kediaman di Kampus Sultan Azlan Shah.

KUALA LUMPUR – Seramai 5,714 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula pulang ke kampus secara berperingkat bermula hari ini sehingga 10 Mei ini.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI tetap akan mengambil langkah keselamatan dari pelbagai aspek bagi memastikan pelajar dan warga UPSI dalam keadaan selamat daripada sebarang jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, penerimaan pelajar yang akan dijalankan selama tiga hari ini disambut dan dipantau oleh pihak pengurusan universiti yang membabitkan Pusat Kesihatan UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Pengetua, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Sekretariat Sukarelawan Siswa (SSS) serta diselia urus Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan (ROSH) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEP).

Katanya, pelajar yang terlibat dengan proses Pergerakan Pulang Pelajar Fasa Dua adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda yang ditentukan oleh fakulti masing-masing.

Kriteria pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus dipilih berdasarkan keperluan program pengajian, malah pelajar diwajibkan menjalani ujian nasal sewaktu proses pendaftaran bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.

”Walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) dikurangkan, namun pihak pengurusan universiti masih menitikberatkan proses pergerakan pulang pelajar yang teratur bagi melindungi komuniti sosial agar berada dalam keadaan selamat di
sekitar UPSI dan Tanjung Malim, “ katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menjelaskan pihaknya akan memastikan Pergerakan Pulang Pelajar Fasa 2 berjalan lancar seperti Pergerakan Pulang Pelajar sebelum ini.\

Menurutnya, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hybrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Walau bagaimanapun, katanya, pertemuan sesama pelajar tidak akan seperti dahulu lagi kerana dibatasi oleh SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette