Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Laman Sari Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MEI 2022.

PUTRAJAYA –  Tindakan tegas akan diambil ke atas seorang remaja yang bertindak memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dan merempuh pekerja pemotong rumput sehingga maut.

Malah, tindakan sama juga akan dikenakan terhadap pemilik MPV tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kejadian itu berlaku atas kecuaian ibu bapa remaja bawah umur dan pemilik kenderaan terbabit yang membiarkan MPV itu dipandu oleh remaja berkenaan hingga mendatangkan kecederaan atau kematian.

”Dalam kes ini memang berlaku kecuaian. Mereka membiarkan anak mereka tanpa lesen, tiada perlindungan bawa memandu kereta.

“Kedua, sekiranya menyebabkan kecederaan mana-mana pihak, sama ada syarikat atau sesiapa yang bersabit akan dikenakan tindakan keras. Macam mana boleh bawa kereta? Undang-undang kita menjaga perlindungan pengguna jalan raya di luar sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana sebentar tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 11 pagi itu, mangsa seorang warga Myanmar meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi cedera.

MPV terlibat dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu, juga seorang pelajar sekolah menengah.

Mangsa Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33,  pula patah bahu kanan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu berlaku ketika  mereka berehat di bahu jalan bersama beberap orang lagi rakan sekerja selepas memotong rumput di kawasan tersebut.

Nahas itu berlaku kerana Perodua Alza tersebit dipandu dengan laju hingga hilang kawalan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette