Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini dianggap penting kerana mencari kata putus dalam isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- Gambar hiasan.

UMNO, sebuah parti Melayu yang terbesar dalam negara telah mengalami kekalahan untuk kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sejak penubuhannya tahun 1946.

Melalui gabungan 14 parti politik di bawah payung lambang dacing atas nama Barisan Nasional (BN), parti ini hanya berjaya mempertahankan 79 kerusi sahaja.

Peristiwa ini telah memberi seribu satu pengalaman dan pengajaran buat kita semua.

Melalui peristiwa ini juga, kita dapat memahami erti setiakawan. Sesungguhnya tiada istilah setia ke hujung nyawa, apabila 10 parti telah meninggalkan gabungan BN sebelum ini, setelah tiada lagi kedudukan dan kuasa. Maka, kembalilah kepada gabungan asal BN ketika pasca kemerdekaan.

Kumpulan aristokrat dalam UMNO semakin berkurangan setelah tiada lagi kepentingan dalam parti ini. Maka tinggallah kumpulan akar umbi yang penuh dengan roh perjuangan, menggambarkan kepada kita bahawa parti UMNO ini sudah sebati dalam minda orang Melayu.

Kebangkitan UMNO ini seperti mengulangi sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu.

Dengan kekalahan kepada Portugis, Sultan Melaka terus berusaha untuk mengambil kembali tanah Melaka dengan membina Kerajaan Johor menyerang kembali Portugis.

Akhirnya, Portugis meninggalkan Melaka. Cuma UMNO kena berhati-hati, jangan seperti Johor ditipu oleh Belanda semasa bekerjasama untuk menumpaskan Portugis di Melaka.

Dari 9 Mei 2018, UMNO terus menyusun pelbagai strategi. Terbukti kemenangan demi kemenangan dilalui dalam PRK dan PRN.

Ini memberi mesej dalam kehidupan kita, walauapa pun berlaku dan sehina mana pun kita, teruskan usaha bangkit dan terus bangkit walau onak badai datang melanda.

UMNO belajar daripada kesilapan, melalui PRN Melaka dan Johor. Penolakan kepada BN bukan semata-mata kepada isu, penolakan juga ada kepada isu tokoh atau figura lama.

Melalui formula BN di PRN Melaka dan Johor telah mengesahkan isu tokoh merupakan elemen utama dalam mengekalkan tahap kualiti produk yang kita jual.

Maka, begitu juga dalam hidup kita, orang tak suka pada sikap kita bukan diri kita keseluruhan, maka kena berubah kepada sikap yang baik. – MalaysiaGazette

Mohd Rizduan Ibrahim

 

Oleh: Mohd Rizduan Ibrahim
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Mas